KOTA BHARU – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapat kerjasama baik daripada majlis agama Islam negeri dan jabatan agama Islam negeri dalam melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap kumpulan yang menyebarkan ajaran Syiah di negara ini.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata selain penguatkuasaan dan pemantauan, mufti negeri juga mengadakan dialog dengan kumpulan berkenaan bagi menyekat penyebaran ajaran tersebut.
“Ada juga negeri yang telah membawa kes berkaitan ajaran Syiah ini ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Pengetua-pengetua Maahad Tahfiz al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-26 di sini, Selasa malam.
Majlis perasmian itu dilakukan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Datuk Kamaruddin Mohd Zin.
Othman berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan yang diambil oleh Jakim bagi menyekat penyebaran ajaran Syiah dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Sementara itu, Othman berkata proses untuk menaik taraf Darul Quran Jakim sebagai kolej universiti kini di peringkat akhir dan dijangka dapat direalisasikan tidak lama lagi.
Beliau berkata pada masa sekarang, Darul Quran iaitu institusi pengajian tinggi tahfiz al-Quran di Kuala Kubu Baharu, Selangor itu bekerjasama dengan 13 maahad tahfiz al-Quran di seluruh negara bagi pengajian peringkat diploma tahfiz al Quran yang melibatkan lebih 1,200 pelajar.
“Pelajar yang tamat pengajian akan berpeluang menyambung pelajaran dalam bidang lain seperti perubatan di beberapa institusi pengajian tinggi awam seperti di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi peringkat ijazah,” katanya.
Katanya kesedaran dan permintaan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke Darul Quran dan maahad tahfiz al-Quran amat tinggi. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar