SABAK BERNAM – Kenaikan harga minyak RON 95 serta diesel sebanyak 20 sen seliter, berkuat kuasa semalam disifatkan sebagai ‘hadiah istimewa’ kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat yang memilih parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada Mei lalu.
Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, rakyat yang mengundi BN tidak seharusnya berasa terkejut dengan kenaikan harga minyak kerana ia sudah dijangka sebelum PRU-13 lagi.
Menurutnya, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, itu juga adalah satu bentuk transformasi yang dilakukan BN sebaik saja mengekalkan pentadbiran negara.
“Selepas 100 hari BN mengekalkan kuasa mereka, inilah hadiah istimewa yang diumumkan kerajaan kepada seluruh rakyat tanpa memikirkan kesannya kepada penduduk khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Suee Lim yang juga Adun Sekinchan berkata, kerajaan juga dianggap memungkiri janji kepada rakyat untuk menaikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jika menang dalam PRU13 kerana bantuan itu hanya diberikan setelah harga bahan api tersebut dinaikkan.
“Ini satu lagi janji politik yang ditabur oleh kerajaan dan BR1M dinaikkan setelah rakyat dibelenggu kenaikan harga minyak. Ia tidak seperti janji yang ditaburkan semasa PRU13 lalu.
“Kalau sebelum PRU13 macam-macam hendak diberi kepada rakyat, tapi apabila sudah dapat apa yang diinginkan rakyat pula ditekan dengan kenaikan minyak dan kita yakin barangan lain juga akan naik,” katanya.
Beliau tidak menolak, semua rakyat merasai kesan kenaikan itu terutama golongan berpendapatan rendah seperti petani dan nelayan yang terpaksa menggunakan diesel untuk kegunaan jentera pertanian dan bot.
Katanya, di Sekinchan misalnya, kenaikan bahan api itu akan memberi kesan kepada kenaikan barangan input pertanian seperti baja, racun dan kos membajak sekali gus dijangka pendapatan petani akan merosot.
“Sesungguhnya kenaikan harga minyak adalah ibu kepada semua kenaikan barangan keperluan lain. Sementara golongan petani dan nelayan adalah antara golongan yang terjejas teruk dengan kenaikan ini,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan digesa supaya mencari mekanisme terbaik dalam membantu rakyat bagi mengelakkan kenaikan harga minyak memandangkan Malaysia antara salah sebuah negara pengeluar minyak.
“Ramai tidak puas hati dengan kenaikan harga minyak. Kita minta supaya kerajaan memandang serius perkara ini bagi memastikan taraf hidup rakyat dapat dipertingkatkan, apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
0 komentar:
Posting Komentar