KUALA LUMPUR – Cuma 134,117 orang mengunjungi Pameran Kenderaan Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (KLIMS13) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bermula 15 hinggga 21 November lalu.
Bilangan pengunjung yang dicatatkan dalam tempoh tujuh hari itu masih jauh berbanding jumlah pengunjung yang disasarkan oleh pihak penganjur KLIMS13 sebelum ini.
Media pada 14 November lalu melaporkan penganjur KLIMS13 menyasarkan seramai 330,000 orang akan mengunjungi pameran tersebut dalam tempoh 10 hari ia berlangsung iaitu dari 15 hingga 24 November 2013.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KLIMS13, Datuk Aishah Ahmad bagaimanapun berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai akan mengunjungi pameran tersebut sebelum ia berakhir esok.
“Bilangan pengunjung pada 21 November lalu sahaja mencatatkan seramai 23,868 orang. Pihak penganjur menjangkakan jumlah pengunjung pameran ini akan meningkat lagi.
“Kami percaya orang ramai menyedari hakikat mereka mungkin terpaksa menunggu tiga tahun lagi untuk mengunjungi pameran ini jika tidak berkesempatan berbuat demikian sebelum esok,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
KLIMS13 disertai sebanyak 78 peserta yang mewakili beberapa jenama popular seperti Citreon, Daihatsu, Ford, Honda, Toyota, Infiniti, Lexus, Nissan dan Volkswagen.
0 komentar:
Posting Komentar