12 Sep 2013
Klang: Seorang bayi perempuan berusia enam bulan dilaporkan kritikal selepas mengalami pendarahan serta retak bahagian tengah kepala selain beberapa kesan lebam di lutut dipercayai didera dalam satu kejadian di Jalan Telok Gadong Kecil, di sini semalam.
Kejadian disedari jam 10 pagi semalam selepas pengasuh Nur Sofea Insyirah menghubungi bapa bayi itu, Mohd Shahril Ahamad, 28, memaklumkan anaknya mengalami kesukaran bernafas sebelum bergegas membawa mangsa yang tidak sedarkan diri ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, setakat ini polis sudah menahan seorang wanita bagi membantu siasatan di rumahnya, kira-kira jam 2.30 petang. Menurutnya, wanita berkenaan yang juga pengasuh bayi itu disyaki mendera mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami retak tengkorak kiri, pendarahan di tengah otak dan lebam di dahi serta lutut.
“Penahanan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual/Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan sejurus menerima laporan bapa mangsa.
“Polis juga sudah merakam percakapan keluarga, saudara mara dan jiran mangsa bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara, di HTAR Mohd Shahril dilihat beberapa kali memeluk isterinya, Siti Safrizah Ahmad, 25, yang hampir pitam di perkarangan Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) kerana tidak sanggup melihat keadaan anak mereka dan setakat jam 8.30 malam tadi (kelmarin) keadaan mangsa dilaporkan semakin kritikal.
NUR Sofea kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
Difahamkan, ketika kejadian, bapa mangsa berada di Pulau Indah atas urusan kerja sementara ibunya pula sedang bekerja di Poslaju Jalan Raya Timur.
Sejurus dimaklumkan kejadian itu, pasangan terbabit bergegas ke rumah pengasuhnya untuk melihat keadaan anak mereka sebelum bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) selepas anak sulung mereka itu tidak sedarkan diri.
Nenek mangsa yang mahu dikenali sebagai Umi berkata, cucunya dihantar ke rumah pengasuh berkenaan sejak cucunya berusia dua bulan dengan bayaran RM300 sebulan. Difahamkan, pada awalnya, pengasuh terbabit tidak mahu menjaga cucunya dengan alasan mempunyai dua anak lain.
“Namun, disebabkan suami pengasuh berkenaan rakan sekerja anak saya, dia seakan terpaksa bersetuju menjaga Nur Sofea atas pujukan suaminya. “Sehingga Syawal baru-baru ini, saya mengesan kesan melecet pada dahinya dan juga beberapa kesan lebam pada tubuhnya sebelum menerima panggilan telefon daripada anak saya memberitahu cucunya itu sudah ditempatkan di NICU,” katanya ketika ditemui di HTAR, semalam. Katanya, pengasuh terbabit memberikan alasan kesan lecet pada dahinya adalah akibat tergesel di permaidani rumahnya ketika cucunya bermain bersama anak pengasuh terbabit yang berusia enam tahun. Selain itu, pengasuh berkenaan juga memberikan alasan lebam di dahi adalah kerana botol susunya terjatuh di atas dahinya ketika sedang minum susu. “Saya tidak sangka pengasuh terbabit sanggup melakukan perkara kejam ini kepada cucu saya dengan memberikan alasan yang tidak masuk akal,” katanya.
myMetro
0 komentar:
Posting Komentar